Agama Yahudi Pandangan agama tentang bunuh diri

Agama Yahudi, secara tradisi dan berdasarkan penekanannya terhadap kesucian nyawa, memandangkan bunuh diri sebagai salah satu dosa yang paling serius. Bunuh diri sentiasa dilarang oleh undang-undang Yahudi dan tidak mempunyai sebarang kecualian. Ia tidak diperlihatkan sebagai satu pilihan yang dapat diterima walau jika keadaannya memaksa seseorang melakukan kesalahan besar yang jalan keluar tunggal ialah untuk membunuh diri bagi mengelakkan perbuatan tersebut. Membantu dalam bunuh diri dan meminta bantuan tersebut (dan dengan itu, mencipta subahat untuk perbuatan dosa) juga dilarang, dan merupakan pencabulan Leviticus 19:14, "Jangan kamu meletakkan kesentuhan di hadapan orang buta." Rabai-rabai Yahudi mentafsirkan ayat ini sebagai melarang sebarang jenis halangan terhadap ajaran yang betul seperti memujuk orang lain mempercayai doktrin yang palsu (dari segi teologi), dan memberi nasihat kewangan yang buruk (dari segi ekonomi) atau dalam kes ini, halangan terhadap kesusilaan dan jasmani (sila lihat Talmud Bavli (B.) Pesah.im 22b; B. Mo'ed Katan 5a, 17a; B. Bava Mezia 75b. and B. Nedarim 42b).

Larangan terhadap bunuh diri tidak tersurat dalam Talmud. Karya Semahot (Evel Rabbati) 2:1–5 yang ditulis selepas kitab Talmud bertindak sebagai asas untuk kebanyakan undang-undang Yahudi tentang bunuh diri, bersama-sama Genesis Rabbah 34:13 yang berdasarkan larangannya pada Genesis 9:5: "Tetapi mengenai darah kamu, yakni nyawa kamu, Aku akan menuntut." (Cf. Undang-undang mengenai pembunuhan M.T. 2:3; karya Talmud Babylonia, Undang-undang Mahkamah (Sanhedrin) 18:6; S.A. Yoreh De'ah (Kod Undang-undang Yahudi) 345:1ff)

Menurut falsafah Chassidisme Yahudi, sesuatu roh turun ke dunia ini untuk melakukan misinya yang tidak dapat dilaksanakan di "dunia-dunia rohaniah". Ini ialah tafsiran mereka untuk kenyataan Talmud: "Satu saat di Dunia Yang Akan Datang (yang bermaksud kedua-dua hidup selepas mati serta dunia Zaman Messiah) adalah lebih seronok daripada seluruh hayat di dunia ini. Tetapi satu perbuatan yang baik di dunia ini adalah lebih penting daripada seluruh kehidupan abadi di Dunia Yang Akan Datang" (Etika Bapa Kita, Mishna). Menurut mazhab Chassidisme Chabad, walaupun makhluk-makhluk rohani (para roh dan malaikat yang tinggal di dunia-dunia rohaniah) tahu akan kewujudan Tuhan, mereka tidak dapat mencapai IntipatiNya. Semasa mematuhi Rukun-rukun Torah, tubuh dan roh seseorang mencapai Intipati Tuhan (kerana Torah mewakili kehendak Tuhan yang secocok dengan intipatiNya) dan menyucikan kedua-dua tubuh dan roh seseorang, serta juga dunia fizikal ini. Penyucian dunia fizikal melalui pelaksanaan Rukun-rukun akhirnya akan mewujudkan Zaman Messiah yang merupakan matlamat dan tujuan Penciptaan. Oleh itu, kehidupan di dalam dunia fizikal memberi roh seseorang suatu peluang yang unik dan sesiapa yang tidak memanfaatkan diri dengan peluang ini dianggap sebagai telah melakukan suatu dosa yang paling besar.

Jawatankuasa Undang-undang dan Piawai Yahudi, badan cendekiawan undang-undang Yahudi dalam mazhab Agama Yahudi Konservatif, telah menerbitkan sebuah teshuva tentang bunuh diri serta bunuh diri dibantu di dalam terbitannya, Agama Yahudi Konservatif, Jilid L, No. 4, pada musim panas 1998. Ia menegaskan larangan dan menumpukan perhatian kepada arah aliran orang-orang Amerika Syarikat dan Eropah yang semakin bertumbuh untuk mencari bantuan bagi membunuh diri. Teshuva memerhatikan bahawa sedangkan banyak orang jatuh sakit, seringnya dengan penyakit-penyakit yang membawa maut, kebanyakan mereka tidak cuba membunuh diri. Jawatankuasa itu mempercayai bahawa kita diwajibkan menentukan sebab-sebab mengapa sesetengah orang mencari bantuan untuk membunuh diri supaya dapat memperbaiki keadaan-keadaan tersebut.

Kesimpulan agama Yahudi Konservatif adalah seperti yang berikut:

"... mereka yang membunuh diri dan mereka yang membantu orang-orang lain berbuat demikian bertindak atas berbagai-bagai niat. Sesetengah alasan adalah tidak mulia dan melibatkan umpamanya, keinginan anak-anak untuk melihat ibu atau bapa mereka mati dengan segera supaya tidak menghabiskan harta pusaka secara boros untuk penjagaan kesihatan yang 'sia-sia', atau keinginan syarikat-syarikat insuran untuk mengurangkan dengan sebanyak yang mungkin pembelanjaan wang ke atas pesakit-pesakit yang tidak dapat dirawat."

Kertas kerja itu mengatakan bahawa respons yang wajar untuk sakit bukannya bunuh diri, tetapi kawalan sakit yang lebih baik atau pemberian lebih banyak ubat sakit. Kertas itu menegaskan bahawa banyak doktor senjaga mengekalkan pesakit-pesakit dalam keadaan sakit dengan enggan memberikan ubat sakit yang mencukupi atas berbagai-bagai alasan; ada yang berbuat demikian kerana kejahilan, ada yang hendak mengelakkan ketagihan drug yang mungkin, dan yang lain atas sikap ketabahan yang salah. Agama Yahudi Konservatif berpendapat bahawa bentuk-bentuk pemikiran seumpama ini adalah "aneh" dan kejam dan dengan adanya ubat-ubat masa kini, tidak terdapat sebarang alasan yang munasabah bagi sesiapa untuk menderita seksa yang tidak henti-henti.

Kertas kerja itu kemudian menyelidikkan punca psikologi terhadap rasa putus asa sesetengah pesakit dan menegaskan:

"Pakar-pakar perubatan dan orang-orang lain yang diminta untuk membantu dalam penamatan hayat harus menyedari bahawa orang-orang yang berfikir-fikir hendak membunuh diri seringnya hidup sendirian tanpa sesiapa yang menunjukkan sebarang minat terhadap kewujudan mereka yang berterusan. Daripada membantu pesakit dalam bunuh diri, respons yang wajar untuk keadaan-keadaan sebegini adalah untuk memberi pesakit itu sekumpulan orang yang menegaskan secara jelas dan berulang kali minat mereka terhadap kewujudan berterusan pesakit tersebut... Permintaan-permintaan untuk mati harus dinilai dari segi tahap sokongan sosial yang diterima oleh pesakit kerana permintaan-permintaan sebegini seringnya ditarik balik oleh pesakit sebaik sahaja ada orang yang menunjukkan minat akan kewujudannya. Dalam zaman individualisme serta rumah-rumah tangga yang berpecah belah dan berselerak, dan di persekitaran antiseptik hospital-hospital yang orang-orang hampir mati mendapati diri ditinggalkan, rukun mitzvah untuk melawat pesakit-pesakit (bikkur Holim) menjadi lebih penting bagi mengekalkan keinginan pesakit untuk terus hidup."